Maran: Pengawal keselamatan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh maut selepas terlanggar kerbau yang melintas jalan mendadak di kilometer 29, Jalan Temerloh – Bandar Jengka di sini.
Dalam kejadian jam 6.50 pagi tadi, mangsa, Kamarulzaman Ariffin, 54, menunggang motosikal dari arah Felda Jengka 16 menghala ke arah tempat kerjanya di Hospital Temerloh.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Mohamad Zamri Mohamad Zaber berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila seekor kerbau melintas dari kiri ke kanan jalan menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak dan terlanggar haiwan peliharaan itu.
“Dua lagi motosikal model Yamaha 135LC ES dan Yamaha Y15ZR ditunggang dua individu berusia 15 dan 21 tahun turut merempuh kerbau yang terbaring di tengah jalan itu.
“Kemalangan itu mengakibatkan Kamarulzaman meninggal dunia di lokasi kejadian. Manakala mangsa remaja berusia 15 tahun yang menunggang motosikal milik neneknya mendapat rawatan di Klinik Kesihatan Pekan Awah.
“Penunggang motosikal berusia 21 tahun berasal dari Felda Gelanggi Satu mengalami kecederaan di bahagian kepala dan bahu. Dia dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh,” katanya.