Teluk Intan: Polis sudah memanggil penganjur perarakan yang tular mengibar bendera China di Dataran Menara Condong Teluk Intan, malam tadi untuk dirakam keterangan.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, penganjur diarah untuk mengemukakan semua peserta warga China untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan 1949 kerana mengibar bendera asing di tempat awam.

Menurutnya, perarakan yang berunsur keagamaan dan membabitkan kereta berhias itu berlangsung dari jam 8 malam hingga 11.30 malam tadi turut disertai 400 penonton itu didapati melanggar syarat Seksyen 4(1) Akta Perhimpunan 2012 iaitu melanggar syarat permit.
“Aduan berhubung kejadian diterima daripada seorang lelaki pada 12.39 tengah malam tadi.
“Polis menasihati penganjur menghantar notis kepada polis dalam tempoh 10 hari sebelum tarikh perhimpunan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, beberapa video tular di media sosial hari ini memaparkan sekumpulan individu dilihat mengibarkan bendera China di kawasan berhampiran Dataran Menara Condong Teluk Intan sambil bersorak.
Penganjur Sambutan Guan Gong Sedunia di Stesen Malaysia sebelum ini memohon maaf atas insiden pengibaran bendera China semasa perarakan di Menara Condong Teluk Intan.
Pengerusi Persatuan Kebudayaan Guan Gong, Soon Boon Hua berkata, perbuatan itu dilakukan rombongan yang berasal dari China dan tidak membabitkan warga Malaysia.