Melaka: Pembantu perubatan sebuah hospital didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak lelaki berusia 11 dan 12 tahun di sebuah pusat qasidah di Bukit Katil, pada Februari lalu.

Abdul Azam Abdul Hamid, 34, yang tidak diwakili peguam tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibaca dan diterangkan jurubahasa mahkamah.
Prosiding kes didengar Hakim Rohatul Akmar Abdullah manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ali Hussain.
Berdasarkan pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa melakukan dua perbuatan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dan satu terhadap kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun di sebuah pusat qasidah di Bukit Katil, pada 3 Februari lalu, jam 1.30 pagi.
Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat bagi setiap pertuduhan mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017.
Mengikut siasatan polis, tertuduh adalah penjawat awam sebagai pembantu perubatan sebuah hospital di Melaka dan bekerja sambilan sebagai guru qasidah di pusat berkenaan.
Terdahulu, pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan, namun mencadangkan RM20,000 sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara membenarkan tertuduh diikat jamin berserta syarat tambahan.
Selepas meneliti hujah kedua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM15,000 bagi semua pertuduhan serta syarat melapor diri di balai polis setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Kes akan disebut semula 18 November ini bagi serahan dokumen dan lantikan peguam bela.