Kuala Lumpur : Pelakon senior berkaliber, Ebby Yus, 59, ketika ini perlu menjalani rawatan dialisis darah untuk sementara waktu, sebelum melakukan dialisis air di rumah sebagaimana disarankan oleh doktor pakar.
Ebby atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid berkata, dia tidak boleh meneruskan rawatan dialisis darah di leher itu kerana mengalami masalah jantung yang sudah tidak kuat.

“Sementara ini, saya kena buat rawatan cuci darah dulu sebelum proses cuci air yang memerlukan tiub dimasuk ke perut. Tapi, rawatan cuci darah yang dilakukan sekarang adalah di leher walaupun sementara saja.
“Sebabnya, saya juga tak boleh nak buat cuci darah berterusan kerana jantung sudah tidak kuat. Itu yang kena buat cuci air nanti,” katanya
Terdahulu, Ebby baru tiga hari dibenarkan pulang ke rumah selepas 17 hari mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat kegagalan buah pinggangnya itu.
Ebby berkata, dia yang sudah empat bulan tidak bekerja kerana masalah kesihatan terganggu itu menyebabkan pergerakannya terbatas akibat cepat pening dan alami tekanan darah rendah.
“Saya dibawa ke Unit Kecemasan HKL oleh rakan serumah dan dirawat selama 17 hari. Saya juga melakukan pembedahan kecil pada perut bagi memasukkan tiub untuk memulakan rawatan dialisis air di rumah.
“Bagaimanapun, luka pembedahan itu dijangkiti kuman dan saya perlu dirawat lebih lama di hospital. Tapi, Alhamdulillah sekarang ini keadaan kesihatan saya menunjukkan tanda-tanda nak baik. Cuma, ia perlukan masa,” katanya.
Disebabkan tidak bekerja, Ebby mengakui dia ada memohon bantuan daripada Majlis Agama Islam Persekutuan (MAIWP) untuk membantu bayaran rawatan dialisis di hospital ketika ini yang memerlukan dia berulang-alik ke HKL setiap minggu.
“Alhamdulillah, ada Baitulmal yang tolong bayarkan terus ke hospital setiap kali saya buat rawatan dialisis. Selain itu, ada juga rakan artis yang prihatin membantu saya dan berbanyak terima kasih diucapkan.
‘Saya juga sebenarnya kalau boleh nak bekerja sebab dah lama tak kerja. Doktor juga kata, saya masih boleh bekerja sekiranya rawatan dialisis air yang dilakukan nanti lancar. Mohon doakan yang baik untuk kesembuhan saya,” katanya.
Baru-baru ini, kisah kesihatan Ebby menjadi perhatian ramai selepas pelakon Roy Azman bersama beberapa rakan konvoi bermotosikal menziarah dan menghulurkan sumbangan untuk membantu meringankan beban dialaminyqa.
Sebelum ini, difahamkan Ebby juga pernah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), HKL pada tahun lalu akibat masalah kesihatan yang dilaporkan doktor tahap kekuatan jantungnya tinggal 27 peratus dan terlalu lemah.