Jakarta: Pengembara ke Indonesia boleh membawa iPhone 16 mereka, namun penjualan telefon itu tidak dibenarkan, kata Kementerian Perindustrian Indonesia, lapor The Straits Times.
iPhone 16, yang dikeluarkan oleh gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS) Apple pada September, tidak boleh dijual di Indonesia kerana syarikat itu tidak memenuhi sasaran pelaburan tempatan Indonesia.

Bagaimanapun, telefon itu boleh dibawa masuk ke Indonesia jika ia adalah untuk kegunaan peribadi atau apabila dihantar melalui perkhidmatan kurier, lapor Jakarta Globe.
Jurucakap Kementerian Perindustrian, Febri Hendri Antoni Arif dalam satu kenyataan dilaporkan berkata, unit iPhone 16 yang dibawa oleh penumpang dan tertakluk kepada cukai adalah barangan peribadi yang tidak boleh dijual dan terhad kepada kegunaan peribadi penumpang.
Setiap penumpang dibenarkan membawa sehingga dua iPhone 16 ke Indonesia, lapor Jakarta Globe.
Kira-kira 9,000 iPhone 16 dibawa masuk ke Indonesia sebagai bagasi peribadi, dengan cukai dibayar, antara Ogos dan Oktober.
Namun, telefon itu akan dianggap haram, jika dijual di Indonesia.
Unit iPhone 16 yang memasuki Indonesia melalui perkhidmatan pos untuk kegunaan bukan komersial juga dibenarkan kerana tidak perlu memenuhi sasaran pelaburan tempatan.
Menurut The Jakarta Post, Menteri Perindustrian, Agus Gumiwang Kartasasmita berkata, Apple masih belum memenuhi janjinya untuk melabur 1.71 trilion rupiah (RM478.8 juta) di Indonesia, yang diperlukan sebelum ia boleh mendapatkan lesen untuk menjual telefon itu secara tempatan .
Agus kemudian berkata, Apple melabur 1.48 trilion rupiah (RM414.4 juta) setakat ini.
Apple pada 11 Oktober lalu berkata, ia “sangat komited kepada Indonesia dan teruja untuk membawa semua produk terbaharunya termasuk barisan iPhone 16, kepada pelanggan secepat mungkin”, lapor The Jakarta Post.