MELIHATKAN persembahannya untuk peserta program Twomee Road Tour Makeup Class di sebuah hotel, baru-baru ini, tidak keterlaluan dikatakan Datin Alyah sudah sepatutnya mengadakan konsert solo.
Alyah atau nama sebenarnya, Noor Hasliah Abu Hasan dilihat bijak berkomunikasi dengan penonton yang terhibur dengan celoteh dan persembahannya.
Alyah mengakui hakikat ini. Tambah lagi artis yang lebih baru pun sudah tampil mengadakan konsert yang mendapat sambutan positif.

“Tipulah kalau kata tak nak buat. Tapi ‘kecerewetan’ saya dari segi kos membantutkan hasrat itu buat seketika. Saya percaya rezeki belum sampai.
“Mungkin perjalanan untuk mengadakan sebuah konsert masih jauh lagi kerana saya ingin memberikan persembahan yang terbaik buat peminat.
“Cara yang lebih baik buat masa ini ialah mengadakan showcase sempena 25 tahun pembabitan saya dalam industri seni tahun depan,” katanya.
Menurutnya, untuk mengadakan konsert agak rumit kerana dia mengimpikan kesempurnaan merangkumi aspek visual dan audio yang perlu selari.
“Semua itu membabitkan kos yang tinggi. Jadi, saya rasa saya mahu cuba buat showcase, berskala yang kecil dahulu. Saya juga agak cerewet dalam mempertimbangkan sesebuah tawaran untuk buat konsert.
“Saya dah bertungkus-lumus menghasilkan karya yang terbaik sejak awal menyanyi sekali gus buatkan diri berkira-kira untuk mengadakan konsert yang berskala besar.
“Saya dah berbelanja banyak untuk muzik video saya dari era lagu Tak Mungkin Kerna Sayang lagi. Kadang-kadang ada yang mencecah ratusan ribu ringgit untuk jayakan sebuah muzik video di luar negara,” katanya.
Bercerita lanjut, Alyah berkata, dia sangat serius dengan kerjaya yang sudah 24 tahun diceburinya ini.
“Saya nak yang terbaik dan itulah diri saya. Saya tak main-main dengan kerjaya saya. Bila nak bagi yang terbaik itu yang tidak mudah dan tidak senang.
“Banyak benda yang saya perlu fikirkan sehinggalah sekarang usia saya sudah 40 tahun pun saya fikirkan. Tak dinafikan ada pihak yang tawarkan buat konsert tapi harganya tak berbaloi dengan kos yang sepatutnya.
“Saya tengok ada sesetengah artis mendapat dana tetapi saya selalu terlepas. Ada juga yang nak buat konsert untuk saya. Tapi pada saya, kosnya itu sepatutnya perlu dibayar dengan harga yang munasabah,” katanya.
Baginya menyanyi di konsert bukan seperti menyanyi di majlis makan malam. Apabila bercakap berkenaan konsert banyak komitmen yang perlu diambil kira terutamanya dari segi pemasaran dan sebagainya.
“Saya juga nak jelaskan, status sebagai isteri Datuk Ramli MS tak mempengaruhi nilai bayaran saya untuk sesebuah undangan atau mana-mana tawaran.
“Setiap nilai bayaran yang ditetapkan adalah setimpal dengan komitmen dan mutu nyanyian sepanjang 24 tahun saya dalam industri muzik. Harga saya dengan dia bagai langit dan bumi. Harga saya berikan ialah kerana komitmen saya.
“24 tahun dalam industri, kalau orang nak bayar saya ikut suka hati, sejujurnya memang saya takkan pergi. Bukan nak riak, tetapi saya sudah berikan sepenuh hati sepanjang dalam industri seni,” katanya.
Dalam pada itu, rezeki menyebelahi Alyah apabila dilamar sebagai duta produk kosmetik Twomee pada Mac lalu dalam tempoh setahun.
“Saya akan terbabit dalam promosi produk ini di mana-mana lokasi yang dirancang. Saya terima tawaran ini kerana jodoh. Sebelum ini pun saya banyak bekerja dengan jenama yang baru.
“Yang penting kami sama-sama puas hati dapat bekerjasama di mana mereka boleh bertolak ansur dan terima pendapat saya,” katanya.