Aedy mahu berlakon semula dengan Amelia

Aedy mahu berlakon semula dengan Amelia

CINLOK ataupun cinta lokasi bukanlah sesuatu yang baharu dalam dunia seni lakonan di Malaysia.

Jika diimbas kembali seawal era lakonan 40an – 60an sekalipun, fenomena cinta lokasi di set penggambaran sesebuah filem pada masa itu sememangnya terjadi dan ada di antaranya yang akhirnya berjaya hingga jenjang pelamin.

Lihat sahajalah kepada pasangan lagenda negara, Allahyarham Seniman Negara Tan Sri Datuk Amar P. Ramlee dan Allahyarhamah Biduanita Negara Puan Sri Datin Amar Salmah binti Ismail atau lebih dikenali Saloma.

Mula menjalin perasaan cinta sejati di set Seniman Bujang Lapok pada tahun 1961 setelah sekian lama bersahabat, mereka memilih untuk terus berkahwin pada tahun yang sama dan perkahwinan tersebut berkekalan hingga ke akhir hayat masing-masing. Maka, tidak hairanlah apabila pelakon-pelakon generasi baharu di Malaysia kini turut terpalit dengan episod cinta lokasi.

Antara yang mendapat perhatian adalah perhubungan dua pelakon berbakat, Aedy Ashraf dan Amelia Henderson yang pernah menjalin hubungan sejak terlibat dalam penggambaran drama bersiri I.D terbitan Astro Shaw pada tahun 2023.

Diarahkan oleh sutradara moden kegemaran Aedy sendiri iaitu Razaisyam Rashid (Sembil9n, Black, Projek: Anchor SPM, Kahar: Kapla High Council), Aedy beranggapan ia merupakan satu pengalaman yang tidak akan dilupakan olehnya. Mungkin bukan hanya disebabkan oleh – ahem – episod percintaan di antara Aedy dengan Amelia yang terbawa-bawa hingga le luar set.

Pelakon kacak itu sebaliknya merasakan drama bersiri I.D ini adalah antara produksi yang banyak mengajarnya mengenai kuasa lakonan dalam penyampaian cerita kepada penonton. Ia banyak dibantu oleh rakan lakonannya seperti Amelia yang disifatkannya sebagai, “Seorang aktres hebat, bijak dan genius”, Naim Daniel, Datuk Aziz M. Osman dan tentunya Hero Malaya, Datuk Rosyam Nor.

Bercakap mengenai Rosyam, Aedy mengimbas semula betapa ‘cuak’ perasaannya apabila perlu berada dalam babak sama dengan Rosyam tanpa kelibat pelakon lain.

Sangka Aedy, Rosyam akan memberikan 110 peratus dalam lakonannnya apabila pengarah menjerit ‘Action!’. Rosyam bagaimanapun bukan sekadar memberikan 110 peratus tenaganya dalam babak tersebut tetapi 200 peratus hingga membuatkan Aedy kagum dan terlupa kesemua dialog yang sudahpun dihafal olehnya.

Melihat ke arah figura seperti Rosyam yang disifatkannya unexpected dalam menzahirkan lakonan berkesan di hati penonton, Aedy teringin sekali untuk kembali bekerjasama dengan beliau serta pelakon I.D lain seperti Amelia Henderson, Naim Daniel dan Aziz M. Osman pada masa hadapan. Segala isu peribadi yang mungkin pernah berlaku disebabkan episod cinta pasti akan diketepikan oleh Aedy demi menggarap satu lagi projek lakonan berkualiti seperti I.D.

Leave a Reply

Discover more from mediapanasonline.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading