Georgetown: Penahanan enam individu termasuk dua wanita dalam serbuan di lima lokasi, 6 Disember lalu membongkar aktiviti sindiket pengedaran dadah bernilai RM2.97 juta di negeri ini.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kesemua warga tempatan berusia antara 26 hingga 42 tahun itu ditahan di rumah masing-masing di Georgetown dan Butterworth.
“Menerusi maklumat dan risikan yang diperoleh, sepasukan polis kemudian menyerbu sebuah unit rumah kondominium di Sungai Nibong pada Jumaat lalu dan menemukan sejumlah pil erimin 5, pil ekstasi dan ketamin yang diisi dalam plastik lutsinar,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Mohd Alwi berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan sudah aktif sejak awal tahun ini.
“Kesemuanya direman selama lima hari sehingga 18 Disember ini bagi membantu siasatan,” katanya.
Menurut Mohd Alwi, tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 yang mana polis turut menyita sembilan kenderaan, empat akaun bank, wang tunai dah barang kemas.
“Keseluruhan rampasan dadah dan sitaan berjumlah RM3.52 juta dan kes disiasat mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.