Shah Alam: Polis menangkap seorang lelaki disyaki berkelakuan tidak sopan cuba merakam dari bawah kain seorang wanita dalam kejadian di sebuah pasar raya di Jenjarom, Kuala Langat, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, siasatan mendapati suspek adalah seorang lelaki tempatan yang berusia 30-an itu tidak bekerja.
“Siasatan awal mendapati, suspek mengaku dia adalah individu terbabit sebagaimana dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
“Semakan mendapati, suspek yang tidak mempunyai rekod lampau juga mengakui pertama kali melakukan perbuatan itu.

“Suspek yang ditangkap di Banting, ditahan reman selama dua hari sehingga esok” katanya kepada media.
Media sebelum ini melaporkan, polis menerima laporan daripada mangsa, seorang wanita pada jam 10.36 pagi, 9 Disember lalu.
Mohd Akmalrizal berkata, wanita berkenaan melaporkan dia dirakam seorang lelaki tempatan ketika membeli belah di sebuah pasar raya di Jenjarom.