Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara, Che Puan Juliana Evans, 36, mengakui dia menolak untuk lakonkan watak penyondol dalam drama mahupun filem ketika ini.
Juliana atau nama sebenarnya Juliana Sophie Johari Evans berkata, sebagai pelakon, dia sangat selektif memilih watak dan menganggap watak penyondol tidak memberi impak positif kepada penonton.

“Saya juga mempunyai prinsip dalam bidang lakonan di mana mahu membawa watak yang mempunyai mesej memartabatkan wanita.
“Saya tak mahu bawa karakter negatif seperti penyondol. Kadang-kadang bila dapat watak yang kurang sesuai pun saya akan tolak,” katanya.
Mengenai watak penyondol lagi, kata Juliana, watak sebegitu terlalu mudah, tidak mencabar dan sangat tipikal.
“Rasanya hampir semua drama di TV sekarang mesti ada karakter penyondol.
“Sebagai pelakon, saya tak mahu dikenali dengan watak seperti itu kerana ia merendahkan golongan wanita,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Bisikan Dosa di sini, semalam.
Ditanya watak antagonis pula, kata Juliana, dia terbuka untuk melakonkannya tetapi tetap mahu karakter mencabar serta tidak merendahkan imej golongan wanita.
“Saya mahu watak yang menonjolkan imej wanita yang kuat, melindungi dan mempertahankan haknya. Itu lebih baik berbanding menjadi perampas suami orang.
“Contohnya, watak jahat yang pernah dilakonkan dalam teater Bawang Putih Bawang Merah sebelum ini.
“Saya mahu tampilkan kelainan dengan menunjukkan kehebatan seorang wanita dan kelebihannya bukan fokus terhadap perkara yang negatif,” katanya.