Farahdhiya bersyukur.

Farahdhiya bersyukur.

Publisiti mengenainya tidak lagi semeriah ketika dia menyertai program nyanyian popular Gegar Vaganza musim kedua pada 2015.

Bagaimanapun, Farahdhiya Mohd Amin, 41, tetap bersyukur kerana selepas 10 tahun, jadual kariernya sentiasa terisi dengan tawaran berlakon dan menyanyi.

“Saya masih aktif. Kalau sesiapa ikuti Instagram saya, akan nampak betapa aktifnya saya penuhi tawaran nyanyian, selain berlakon.

“Saya masih lagi dalam industri, tak ke mana kecuali semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana semua orang tak boleh keluar bekerja.

“Saya bekerja seperti biasa, masih lagi menyanyi dan berlakon. Tapi kalau berlakon itu kena pilih watak juga mana yang skripnya menarik,” katanya membuka perbualan.

Lakonan terbaru Farahdhiya kini dapat disaksikan menerusi drama Langit Ke Tujuh yang kini ditayangkan di platform penstriman Tonton

“Kami semua tak sangka drama ini mendapat sambutan hangat daripada penonton. Drama arahan Heykal Hanifah ini sedang viral sekarang di TikTok. Kita sendiri berlakon dan kita sendiri tak sabar nak tengok.

“Kisahnya berkaitan ajaran sesat. Ia sangat lain dari apa yang saya pernah buat dulu. Walaupun bila dapat skrip, jalan ceritanya klise, tapi maksudnya watak yang ditawarkan saya pastikan ada kesan di dalamnya.

“Sebab kita rasa benda itu lain dan saya pun tak pernah lagi berlakon cerita yang begini. Memilih watak yang saya maksudkan ialah yang tak klise yang macam bila baca skrip orang kata ada sesuatu, bukan tiada apa-apa kesan terhadap penonton,” katanya.

Farahdhiya tidak menafikan di Malaysia cerita cinta, rampas-merampas itu memang tidak boleh dielakkan daripada penonton.

“Macam saya cakap, Langit Ke Tujuh ini berbeza. Tak adalah orang kata saya macam jadi pohon kayu di dalam itu. Jalan cerita kita tak boleh nafikan klise kerana penontonnya ada di situ.

“Lagipun nak terlalu ke depan sangat takut orang tak boleh terima apa yang dipaparkan. Langit Ke Tujuh dah tayang lima episod dari keseluruhan lapan episod.

“Pelakon lain ialah Nora Danish, Faezai Elai, Cacha Maembong dan Zamarul Hisham. Kami semua adalah isteri Zamarul. Penonton di TikTok memang jutaan orang,” katanya

Farahdhiya yang sudah membintangi pelbagai drama berkata, dia gembira kerana sudah acapkali ditawarkan berlakon dengan platform penstriman (OTT), selain stesen TV.

“Saya bersyukur sekurang-kurangnya ada peningkatan dan tawaran yang bagus untuk semua pelakon. Apabila dapat kira rezekilah.

“Bayaran pun okey, tapi saya tak menolak tawaran dari stesen TV biasa juga kalau ada. Itu rezeki kita dan sebenarnya selain wang, keutamaan saya juga pada watak dan kualiti skrip.

“Saya sentiasa nak naskhah yang bagus. Buat masa ini belum ada drama saya disiarkan di stesen TV. Yang dah shooting itu ada tapi belum disiarkan lagi.

“Saya sekarang berehat lepas habis Langit Ke Tujuh. Saya juga baru buat satu telefilem batu-baru ini. Saya sebenarnya bukan ‘back to back’ berlakon.

“Saya sibuk menyanyi juga. Biasanya menyanyi hujung minggu. Tapi saya ada pilihan, jika ada tawaran berlakon menarik saya akan buat. Kemudian saya akan berehat.

“Zaman kejar tawaran demi tawaran dah berlalu. Lagipun saya bersyukur kerana selain berlakon, saya menyanyi juga. Lainlah kalau saya bergantung pada satu pekerjaan saja,” katanya

Leave a Reply

Discover more from mediapanasonline.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading