Arau: Wanita yang didakwa mencederakan anaknya di sebuah koridor hadapan sebuah pasar raya di Jejawi, di sini, direman 16 Februari hadapan.
Perintah reman selama enam hari dikeluarkan oleh Majistret Ana Rozana Mohd Nor selepas suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Kangar sekitar jam 9.33 pagi ini.
Suspek yang bekerja sebagai pekerja kantin berusia 38 tahun itu ditahan di sebuah bilik sewa sebuah rumah di Mata Ayer jam 11.30 malam semalam.
Penahanan suspek susulan tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dipercayai dari pasar raya yang menunjukkan dia beberapa kali menampar anaknya sehingga cedera selepas tersungkur dan terkena bucu bangku.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 8 malam Ahad lalu.
“Polis menerima laporan daripada orang awam berhubung perlakuan wanita berkenaan yang dirakam CCTV.
“Dalam video itu, suspek memukul belakang kepala kanak-kanak perempuan sehingga terhantuk di bucu bangku dan berdarah.
“Kejadian disyaki berlaku di hadapan kaki lima sebuah pasar raya di Jejawi, dan suspek direman bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi pada hari ini.
Katanya, anak mangsa berusia lima tahun mengalami luka di bahagian kening kanan dan sudah menerima rawatan susulan selepas kejadian itu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.
Sementara itu, kanak-kanak itu kini ditempatkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.
Semalam, tular video di media sosial berdurasi 47 saat yang memaparkan seorang wanita melempiaskan kemarahan terhadap seorang kanak-kanak perempuan dengan merentap tangan sebelum tiga kali menampar anaknya itu termasuk di kepala.
Tindakan itu menyebabkan anaknya terjatuh sehingga kepala tercedera.