Kuala Lumpur: Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) B berjaya muncul juara Kejohanan Varsity Sepak Takraw League Grand Final 2024 selepas menewaskan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) 2-1 di pentas final acara double yang berlangsung di Dewan Kompleks Kejiranan, Presint 11, Putrajaya, hari ini.
Namun ia bukan kemenangan mudah buat UPNM B apabila dikejutkan di set pertama sebelum bangkit dua set seterusnya untuk menang 14-17, 15-4, 15-11.

UPNM B yang membariskan Haizam Huzairi Saipul Nizam dan Azib Mohd Zu bermula dengan sangat baik untuk mendahului 8-1 namun begitu, SSBJ yang diwakili Jefri Ahmad dan Zulfaiz Azeme berjaya melakukan kebangkitan mengejar sebelum menang set itu.
Tersentak dengan situasi itu, Haizam Huzairi dan Azib memperbaiki semula taktikal dan kelemahan mereka dan sama seperti set sebelum ini, mereka jelas menunjukkan penguasaan penuh dan tidak membenarkan perkara sama berulang sebelum menang sangat mudah untuk mengheret perlawanan ke rubber set.
Biarpun Jefri dan Zulfaiz cuba memberi tentangan sengit di set penentuan, tetapi gandingan UPNM B sangat konsisten dari segi bertahan dan melakukan libasan untuk mendapatkan mata demi mata.
Bagi Haizam, dirinya sendiri sukar untuk percaya mereka berjaya mara ke pentas final namun faktor sentiasa fokus menjadi kunci utama buatnya dan pasangannya meraih kejuaraan kali ini.
“Pertama kita perlu sentiasa berselawat dan kedua bila berada di dalam gelanggang, jangan salah komunikasi dengan rakan. Andai ada silap, kita betulkan segera dalam mata seterusnya.
“Jurulatih juga sering bagitahu untuk kekal fokus dan jangan leka sebab sistem sekarang adalah 15 mata. Main double akan terikat dan kita nak bermain satu satu (kedudukan mata tidak jauh) dan terus fokus,” katanya selepas tamat perlawanan.
Selain itu, untuk acara final bagi kategori Elite, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) A 2-0 menewaskan Universiti Sains Islam Antarabangsa (USIM) A untuk muncul juara acara double Universiti Teknologi Mara (UiTM) A mengalahkan Kolej Komuniti Malaysisa (KK MAS) A 2-0 dalam acara regu.